Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Polis buka 10 kertas siasatan hina Agong di media sosial

GEORGE TOWN, 3 MAC: Polis membuka 10 kertas siasatan, berhubung kes memuat naik status menghina Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di laman sosial, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor.

Beliau berkata sehingga hari ini dua lagi individu ditahan, menjadikan jumlah tangkapan setakat ini lima individu dan polis sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk mengesan beberapa individu lagi, yang disyaki memuat naik status berkenaan.

“Ada di antara inidividu itu kita ambil reman dan polis sedang siapkan kertas siasatan, jadi kita tunggulah keputusan daripada pihak pendakwa raya.

Lima lagi individu (yang disyaki memuat naik status menghina) dipercayai masih berada dalam negara ini dan kami sedang kesan mereka,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Pulau Pinang antara Datuk T. Narenasagaran yang bersara wajib dan Datuk Sahabudin Abdul Manan, yang sebelum ini Timbalan Pengarah 1 Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman.

Mengulas mengenai dakwaan seorang lelaki yang ditahan kerana menghina Yang di-Pertuan Agong memiliki kad orang kurang upaya (OKU) dan mempunyai masalah mental, Mazlan berkata pihaknya menyerahkan kepada mahkamah, untuk menentukan sama ada benar individu itu mempunyai rekod sakit mental atau tidak.

Dalam perkembangan lain, Mazlan berkata polis dalam proses memanggil penganjur perhimpunan ‘Selamatkan Malaysia’, yang berlangsung di hadapan pusat beli-belah Sogo di ibu negara, pada Ahad lepas kerana menerima laporan polis berhubung demonstrasi aman tersebut.

“Itu dalam tindakan dan proses untuk kita laksanakan (panggil) penganjur perhimpunan tersebut, sebab laporan polis berhubung (demonstrasi aman) telah dibuat,” katanya enggan mengulas lanjut.

Terdahulu, Sahabudin dalam ucapannya berkata beliau akan meneruskan usaha yang dilakukan Narenasagaran di Pulau Pinang, untuk mengekalkan keamananan dan mencegah serta membanteras kegiatan jenayah.

“Saya hargai usaha dan sumbangan Datuk Narenasagaran yang telah meninggalkan rekod cemerlang di negeri ini. Saya akan teruskan legasi kepimpinan beliau ke tahap terbaik, selain melakukan penambahbaikan serta menumpukan kepada usaha mendekatkan polis dengan masyarakat, bagi memastikan kejadian jenayah dapat dikekang,” katanya.

-BERNAMA