Categories
AGENSI SELANGOR

Polis tahan lelaki dera anak angkat enam tahun

SHAH ALAM, 16 MAC: Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun mengalami kecederaan di seluruh badan, dipercayai akibat didera bapa angkatnya di sebuah pangsapuri di sini, Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Polis, Arifai Tarawe berkata polis menyerbu rumah mangsa selepas menerima panggilan telefon daripada orang awam pada 7.50 petang, memaklumkan terdapat kes penderaan kanak-kanak.

“Polis turut merampas kayu rotan yang dipercayai digunakan untuk mencederakan mangsa.

“Hasil pemeriksaan terhadap kanak-kanak itu, doktor mengesahkan terdapat kecederaan antaranya di dada, abdomen, paha, lebam serta kesan cakaran di muka. Kanak-kanak itu kini dirawat di Hospital Selayang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di sini hari ini.

Beliau berkata polis menahan seorang lelaki berusia 36 tahun bagi membantu siasatan kes itu dan dia direman sehingga Khamis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

– BERNAMA