Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur di Sepang termoden dunia

SEPANG, 3 MAC: Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KL ATCC) yang bakal beroperasi Oktober ini adalah antara yang termoden di dunia, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata KL ATCC yang dibina dengan kos RM647 juta itu juga akan menjadi mercu tanda baharu dalam industri penerbangan awam negara, terutama industri aeroangkasa di negeri ini.

“Kelengkapan KL ATCC yang dibina di sini adalah yang terbaik dan saya difahamkan pusat kawalan trafik di Subang yang berusia 25 tahun juga akan dipindahkan ke sini.

“Kerajaan Negeri yakin dengan adanya kemudahan serba canggih seperti ini ia akan menyokong hasrat Selangor untuk menguasai industri aeroangkasa di negara ini,” katanya selepas melawat Kompleks KL ATCC di sini hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari meneliti fasiliti di bilik Sistem Operasi Utama (MOS) ketika lawatan kerja ke Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KL ATCC), Sepang pada 3 Mac 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

KL ATCC menempatkan operasi kawalan trafik ruang udara Kuala Lumpur yang dikenali sebagai ‘Kuala Lumpur Flight Information Region’ (KL FIR).

KL FIR menjadi tunjang utama bagi keseluruhan trafik udara di negara ini termasuk sebagai pusat koordinasi Sistem Mencari dan Menyelamat (SAR) bagi Jabatan Penerbangan Awam (DCA).