Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Raih pengiktirafan, penjawat awam Selangor tanda aras agensi lain

SHAH ALAM, 16 MAC: Kejayaan perkhidmatan awam Selangor meraih pelbagai pengiktirafan menjadi penanda aras kepada agensi lain sama ada di peringkat negeri atau Persekutuan, titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah selain mencatat pelaburan tertinggi, Selangor juga meraih anugerah ‘Juara Bebas Rasuah’ daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

Titah baginda pengiktirafan turut diberikan atas pelaksanaan Bangunan Rendah Karbon dan menaik taraf Subang Jaya kepada majlis bandaraya.

“Beta berkenan dengan saranan Memanda Dato’ Menteri Besar (Dato’ Seri Amirudin Shari) supaya perubahan paradigma penjawat awam dilakukan agar lebih berdaya saing.

“Penolakan kepada mentaliti sebagai pembangkang dan budaya nilai kerja yang baik seperti berintegriti, bertanggungjawab dan peduli rakyat wajar diterapkan dalam cara kerja perkhidmatan awam Selangor sehingga menjadi cemerlang dan terkemuka,” titah baginda pada istiadat pembukaan Persidangan Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Ke-14, di sini, hari ini.

Sultan Selangor turut berkenan dan memandang serius supaya seluruh rakyat di negeri ini terus mengekalkan keharmonian dan kemakmuran dikecapi dengan mengukuhkan lagi perpaduan yang lama terjalin antara masyarakat berbilang kaum.

“Sesungguhnya Selangor adalah negeri yang makmur dan aman, dikurniakan masyarakat berbilang bangsa, agama dan adat resam.

“Perpaduan dan keharmonian ini aset negeri yang harus dipertahankan dan dipelihara supaya menjamin kestabilan dan kesentosaan negeri,” titah baginda.