Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Robert Kuok kekal orang paling kaya Malaysia – Forbes Asia

SINGAPURA, 5 MAC: Ekonomi Malaysia yang lembap, kini dilanda Covid-19 telah memberi kesan kepada hartawannya, menurut Forbes Asia yang mengeluarkan Senarai Orang Paling Kaya Forbes Malaysia 2020 hari ini.

Forbes Asia berkata kekayaan 50 hartawan Malaysia merosot untuk tahun kedua berturut-turut berikutan ringgit yang rendah dan susut hampir 10 peratus dalam indeks saham penanda aras negara.

Nilai bersih terkumpul mereka berjumlah AS$79 bilion merosot 7.0 peratus berbanding tahun lepas, katanya.

Legenda perniagaan, Tan Sri Robert Kuok berada pada kedudukan nombor satu lagi dengan nilai bersih AS$11.5 bilion, kedudukan yang dipegang selama lebih dua dekad.

Kuok antara empat dalam senarai yang kekayaannya merosot lebih AS$1 bilion pada tahun lepas.

Mengekalkan kedudukannya dalam senarai nombor dua ialah Tan Sri Quek Leng Chan dari Kumpulan Hong Leong, yang menambah AS$300 juta dalam kekayaannya sebanyak $9.7 bilion.

Tan Sri Ananda Krishnan daripada Maxis menduduki tempat ketiga dengan nilai bersih $5.9 bilion, susut $300 juta berbanding tahun sebelumnya.

Paling terjejas ialah jutawan perbankan Tan Sri Dr Teh Hong Piow (No. 5, AS$4.85 bilion).

Pengasas Public Bank itu menyaksikan kekayaannya menerima kesan daripada cabaran dalam industri perbankan Malaysia, merosot dua anak tangga daripada No. 3 pada tahun lepas.

Teh menyaksikan AS$1.85 bilion berkurangan daripada kekayaannya sejak senarai sebelum ini berikutan saham dalam Public Bank, bank kedua terbesar negara itu dari segi nilai pasaran, merosot kira-kira 30 peratus.

Selain Kuok dan Teh, Tan Sri Lim Kok Thay (No. 7, AS$3.2 bilion) dan Lau Cho Kun daripada Hap Seng (No. 10, AS$2.3 bilion) turut menyaksikan kekayaan mereka merosot lebih AS$1 bilion, masing-masing susut AS$1.2 bilion dan AS$1.1 bilion.

Tan Sri Dr Tony Fernandes dari AirAsia (No. 41) dan Datuk Kamarudin Meranun (No. 43) menyaksikan lebih satu pertiga daripada kekayaan mereka, masing-masing merosot kepada AS$335 juta dan AS$315 juta.

Secara keseluruhannya, seramai 22 dalam senarai itu mencatatkan kemerosotan dari segi nilai bersih mereka berbanding tahun lepas, bagaimanapun jumlah sama lebih baik.

Antaranya hartawan kasino Tan Sri Dr Chen Lip Keong, yang beralih kepada kedudukan lima teratas untuk kali pertama di No. 4.

Pertumbuhan yang menggalakkan di kompleks kasino NagaWorld milik Chen di Kemboja, sebelum Covid-19, membantu meningkatkan nilai bersihnya sehingga 6.0 peratus kepada AS$5.3 bilion.

Seorang lagi ialah Kuan Kam Hon (No. 9), yang mempunyai kawalan ke atas Hartalega Holdings, pengeluar sarung tangan getah nitril terbesar dunia.

Nilai bersih beliau meningkat AS$400 juta kepada AS$2.8 bilion, daripada $2.4 bilion pada tahun lepas.

Terdapat lima pendatang baharu dalam senarai, dengan yang paling kaya adalah pasangan pewaris.

Mula disenaraikan dengan berada di kedudukan No. 6 ialah Datuk Lee Yeow Chor dan Lee Yeow Seng, berkongsi AS$4.8 bilion yang ditinggalkan oleh bapa mereka, Tan Sri Dr Lee Shin Cheng, arkitek empayar sawit dan hartanah IOI Corporation Bhd, yang meninggal dunia Jun lepas.

Nama baharu yang lain termasuklah dua usahawan teknologi, Chu Jenn Weng (No. 47, AS$280 juta), pengasas pengeluar produk elektronik ViTrox; dan bekas jurutera Hewlett-Packard Oh Kuang Eng (No. 50, AS$255 juta), yang syarikatnya, Mi Technovation mengeluarkan peralatan semikonduktor.

– BERNAMA