Categories
AGENDA JENAYAH

Rugi RM600,000 angkara penipuan e-dompet di Kedah

ALOR SETAR, 15 MAC: Ditawarkan wang segera RM100 hingga RM300 sekiranya memberikan kad pengenalan untuk membuka akaun e-dompet dan ia merupakan antara taktik baharu sindiket penipuan (scammer) yang berjaya dikesan di Kedah, sejak Januari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kedah, Superintendan Elias Omar berkata ejen yang dilantik scammer akan mencari mangsa dalam kalangan berpendapatan rendah atau penagih dadah sebelum meminta kad pengenalan bagi membantu mendaftarkan akaun e-dompet.

“Terlebih dahulu, mangsa akan dijanjikan wang tunai RM100 hingga RM300 dengan segera sekiranya pemohonan pendaftaran e-dompet mereka berjaya dan itu membuatkan mangsa memberikan kad pengenalan mereka tanpa berfikir panjang.

“Ejen berkenaan akan mengisi borang pemohonan dengan menggunakan nama dan nombor kad pengenalan mangsa manakala nombor telefon dan alamat pula akan diisi dengan maklumat scammer. Ini bagi memudahkan scammer untuk mendapat nombor Kod Pengesahan Transaksi (TAC) milik mangsa sebelum wang dalam akaun bank mangsa diambil,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata scammer kemudiannya akan menghubungi mangsa lain dan menyamar sebagai polis atau pihak mahkamah sebelum mengarahkan mangsa terbabit untuk memindahkan sejumlah wang ke dalam akaun e-dompet yang dibuka menggunakan kad pengenalan yang diperolehi daripada mangsa sebelum itu.

“Scammer akan menghubungi mangsa dan maklumkan bahawa mereka terlibat dalam kes dadah dan bagi mengelak aset mereka dibekukan, mangsa perlu memindahkan kesemua wang mereka ke dalam akaun e-dompet yang diberikan. Scammer menggunakan kaedah e-dompet kerana ia sukar untuk dikesan oleh pihak polis.

“Sejak 1 Januari hingga 29 Februari lalu, sebanyak 25 kertas siasatan yang membabitkan kes ini dibuka dengan melibatkan kerugian berjumlah RM600,000,” katanya.

Katanya, sehingga kini seramai 50 individu memberikan kad pengenalan mereka untuk pendaftaran akaun e-dompet namun mereka tidak menyedari bahawa kad pengenalan dan maklumat peribadi mereka telah disalahgunakan pihak scammer yang ingin mengaut keuntungan.

Sementara itu, Elias berkata bertindak atas maklumat, pihaknya telah berjaya menahan dua lelaki yang berumur 23 tahun yang sedang menjalankan aktiviti mendapatkan kad pengenalan orang awam pada awal bulan ini di daerah Kuala Muda.

“Salah seorang daripada mereka merupakan ejen yang dilantik oleh scammer dan bagi setiap satu kad pengenalan yang berjaya diperolehi, ejen akan mendapat RM50. Kita turut merampas enam telefon bimbit, 13 kad sim dan enam kad mesin wang automatik (ATM),” katanya.

Beliau berkata pihaknya sedang mengesan seorang lagi individu berumur 34 tahun yang dipercayai boleh membantu kes penipuan tersebut.

– BERNAMA