Categories
AGENDA NASIONAL

Sekolah tutup tak perlu ganti, mahasiswa diarah balik

SHAH ALAM, 17 MAC: Sekolah tidak perlu melaksanakan kelas ganti susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bermula esok sehingga 31 Mac ini, maklum Majlis Keselamatan Negara.

Pemakluman tersebut berikutan perutusan khas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin mengenai Covid-19 semalam, yang menyatakan cuti sekolah dilanjutkan sehingga hujung bulan ini.

Semua institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta serta institut latihan kemahiran di seluruh negara turut ditutup sepanjang tempoh perintah dan pelajar diarah kembali ke kediaman masing-masing.

“Pelajar yang pulang ke negara asal tidak dibenarkan kembali ke Malaysia sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa.

Pekerja kedai makan, Mahathir Muhammad dilihat menampal notis arahan penutupan operasi daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur berikutan Perintah Kawalan Pergerakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967 mulai 18 Mac hingga 31 Mac ini sebagai langkah pencegahan penularan Covid-19. Foto BERNAMA

“Pelajar asing yang mengambil keputusan untuk terus berada di negara ini dan menginap di fasiliti IPT awam dan swasta perlu melapor kepada pihak pengurusan IPT dan tertakluk kepada perintah yang berkuat kuasa,” kata Majlis Keselamatan Negara.

Bagi upacara pernikahan, ia boleh dilaksanakan tanpa melibatkan kehadiran ramai, sementara majlis persandingan dan resepsi disaran untuk ditangguhkan sehingga isu Covid-19 di Malaysia tamat.

Majlis Keselamatan Negara turut memaklumkan sekiranya berlaku kematian di rumah yang tidak melibatkan pesakit Covid-19, jenazah boleh diuruskan waris terdekat sahaja bersama khariah masjid atau surau serta solat jenazah sahaja tanpa tahlil.

Sepanjang tempoh ini juga, semua perkhidmatan pengangkutan awam diteruskan.

Sebagai langkah mengawal penularan Covid-19, kedai makan masih boleh dibuka tetapi hanya untuk dibawa pulang sahaja atau melalui perkhidmatan penghantaran oleh syarikat tertentu seperti Grab Food atau Food Panda.