Categories
SELANGOR

Selangor beri ‘kerja rumah’ tingkat kecergasan pemain

SHAH ALAM, 24 MAC: Selangor memantau sesi latihan menerusi video yang perlu dihantar pemain setiap hari susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, kata jurulatihnya.

B Sathianathan berkata ‘kerja rumah’ itu perlu disiapkan bagi memastikan semua pemain mengekalkan kecergasan walaupun tanpa sesi latihan luar seperti sebelum ini.

“Mereka (pemain) kena isi borang latihan setiap hari. Pemain diberitahu mereka akan diuji dengan ujian yo yo dan juga kawalan berat badan.

“Ujian yo yo adalah cara kita menguji ketahanan pemain,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata pemain turut dibekalkan dengan program pemulihan sebagai persediaan menghadapi latihan apabila kembali melapor diri nanti.

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam kenyataan pada 17 Mac lalu melarang semua pasukan mengadakan latihan, perlawanan persahabatan dan mengurangkan pergerakan sehingga perintah berakhir 31 Mac ini.

Red Giants kini mengumpul lima mata selepas empat perlawanan dan mereka tewas 2-0 kepada Kedah sebelum saingan liga dihentikan buat sementara waktu.