SHAH ALAM, 31 MAC: Kerajaan Negeri giat melaksanakan proses nyah kuman di semua premis perniagaan dan kerajaan bagi mengekang penularan wabak Covid-19, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu akan turut meliputi semua rumah ibadat di negeri ini termasuk masjid, surau, kuil dan tokong dalam fasa seterusnya.
“Kerja-kerja pembersihan yang dilaksanakan pihak berkuasa tempatan (PBT) bertujuan untuk melindungi orang ramai yang mengunjungi premis berkenaan daripada dijangkiti virus Covid-19,” katanya menerusi Twitter hari ini.
Amirudin berkata beberapa lokasi sudah selesai melaksanakan proses nyah kuman antaranya seperti Majlis Daerah Sabak Bernam melakukan kerja-kerja pembersihan di Stesen Bas Sungai Besar dan pasar awam Bagan Nakhoda Omar.
“Sementara itu Majlis Perbandaran Selayang pula menjalankan kerja-kerja pembersihan di sekitar kawasan Selayang dan Gombak,” katanya.
Pada 28 Mac lalu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan proses nyah kuman dilakukan bermula semalam di seluruh negara.
Usaha pelaksanaan menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di bawah PBT setiap daerah itu menumpukan kepada kawasan berisiko terhadap jangkitan Covid-19.
Semalam Selangor mencatatkan peningkatan 60 kes baharu positif Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan 672 kes setakat jam 6 petang.
Amirudin terus meminta rakyat menentang penularan wabak maut berkenaan dengan mematuhi arahan pihak berkuasa.