Categories
SELANGOR WANITA & KEBAJIKAN

Selangor negeri pertama laksana pengarusperdanaan gender

SHAH ALAM 10 MAC: Selangor menjadi negeri pertama melaksanakan pengarusperdanaan gender untuk mempromosi hak dan menangani diskriminasi terhadap wanita, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri menggariskan langkah jelas mencapai kesaksamaan gender menerusi pelaksanaan dasar inklusif, menyentuh keperluan dan memberi kesan positif kepada golongan tersebut.

“Penyelidikan Institut Wanita Berdaya (IWB) Selangor dalam kalangan penjawat awam pada 2019 menunjukkan 43.84 peratus wanita berasa tidak menerima peluang kenaikan pangkat sewajarnya.

“Sebanyak 45.27 peratus berasa jantina diambil kira semasa pemilihan pekerja dan 24.37 peratus berpendapat kerja diberikan tidak sama rata dengan rakan berlainan jantina,” katanya pada Majlis Watikah Pelantikan Kumpulan Tumpuan Gender (GFT) dan Kumpulan Titik Tumpuan Gender (GFP) Pengarusperdanaan Gender di sini hari ini.

Amirudin berkata Selangor maju selangkah dalam aspek kesaksamaan gender menerusi pelantikan GFT dan GFP khusus untuk melaksanakan audit gender, pelan tindakan, penghasilan dan pemantauan pengarusperdanaan gender.

“Malah kebanyakan Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) dekat dengan wanita yang mana banyak dasar kita bertujuan memperkasa golongan tersebut.

“Selangor berharap usaha pengarusperdanaan gender akan menjadi inspirasi kepada negeri lain untuk melaksanakan pendekatan sama,” katanya.