Categories
AGENDA NASIONAL

Selangor rekod pesakit Covid-19 tertinggi 144 kes

SHAH ALAM, 16 MAC: Selangor merekodkan 144 kes dijangkiti Covid-19 daripada jumlah keseluruhan 553 kes setakat jam 12 tengah hari tadi, mengikut data Kementerian Kesihatan hari ini.

Angka itu menjadikan Selangor negeri tertinggi mangsa dijangkiti Covid-19 mengatasi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang mencatatkan 106 kes, Sabah (57), Johor (52), Negeri Sembilan (42), Kedah (31) dan Sarawak (21), Pahang (19).

Perak dan Kelantan pula masing-masing 18 kes, Pulau Pinang (15 kes), Melaka (14), Perlis (lapan), Terengganu dan Wilayah Persekutuan Labuan (empat).

Sebelum ini, Majlis Tindakan Khas Covid-19 Selangor menubuhkan pasukan petugas diketuai bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad untuk memantau dan mencegah penularan Covid-19.

Dr Dzulkefly bersetuju mengetuai pasukan yang turut disertai empat pakar kesihatan, wakil Jabatan Kesihatan Negeri dan Unit Bencana Negeri.