Categories
PBT SELANGOR

Semua premis melibatkan pergerakan orang awam ditutup – MPKL

SHAH ALAM, 18 MAC: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) menutup semua premis perniagaan di kawasan pentadbirannya selaras Perintah Kawalan Pergerakan mulai 18 hingga 31 Mac, kata yang dipertuanya.

Mohamad Zain A Hamid berkata larangan itu melibatkan pergerakan orang awam di seluruh kawasan pentadbiran MPKL termasuk pasar malam, bengkel, tempahan dewan dan sebagainya.

“Tindakan ini diambil dalam kadar segera bagi menyekat penularan wabak Covid-19 daripada terus merebak.

“MPKL menasihati orang ramai agar tidak panik, tidak cemas serta sentiasa mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi dan mengurangkan pergerakan terutamanya melibatkan perhimpunan bagi aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata pihaknya turut mengambil langkah drastik dengan menutup premis MPKL sepanjang tempoh perintah bagi semua urusan rasmi kecuali jabatan pelesenan, jabatan penguatkuasaan serta jabatan pengurusan sisa pepejal dan kesihatan persekitaran.