Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Semuanya 790 kes, 11 pesakit sembuh, 15 di ICU

SHAH ALAM, 18 MAC: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan terdapat 11 kes Covid-19 telah pulih dan dibenarkan discaj hari ini.

Perkembangan ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya dan discaj daripada wad adalah sebanyak 60 kes.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata terdapat 117 kes baharu dilaporkan sehingga jam 12 tengah hari tadi menjadikan jumlah kes positif di Malaysia sebanyak 790 kes.

“Berdasarkan siasatan awal, daripada 117 kes baharu yang dilaporkan hari ini, sebanyak 80 kes adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling,” katanya dalam kenyataan.

Sehingga kini, seramai 15 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata daripada 790 kes itu, 123 adalah pesakit dalam siasatan (PUI); 135 kalangan kontak rapat; 513 kluster perhimpunan tabligh; 17 kes pesakit influenza-like-illness (ILI) dan severe acute respiratory infection (SARI) dan dua dari Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR).

Sementara itu, selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa hari ini, Dr Adham berkata tiada pelawat dibenarkan masuk ke wad hospital kecuali bagi kes kecemasan dan sangat memerlukan sepanjang tempoh berkenaan.

Katanya, dalam tempoh itu juga hanya seorang peneman sahaja dibenarkan semasa temu janji klinik kecuali untuk pesakit kanak-kanak atau pesakit yang memerlukan bantuan atau kes kecemasan.