Categories
PBT SELANGOR

Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan rai wanita 8 Mac ini

SHAH ALAM, 5 MAC: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan menganjurkan Program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan sempena Sambutan Hari Wanita Sedunia di Dataran Kemerdekaan, di sini pada 8 Mac ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya Shahrin Ahmad berkata program mempromosikan gaya hidup sihat turut mendapat kerjasama Hospital Pakar Avisena untuk Piknik Dhuha.

“Avisena akan mengadakan ‘Bicara Kesihatan Wanita Kanser Serviks’ bersama Dr Raja Arif Shah Raja Ismail, pemeriksaan kesihatan percuma, taklimat kesihatan dan kecergasan serta aktiviti zumba.

“MBSA turut bekerjasama dengan Persatuan Warga Sindrom Down Selangor sempena Sambutan Hari Sindrom Down Sedunia 2020 peringkat negeri” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahrin berkata bagi menarik penyertaan orang ramai, program Eco Free Market bertemakan kitar semula turut diadakan untuk penyaluran dan edaran semula barangan terpakai secara percuma.

Beliau berkata pengunjung hanya perlu menukar botol air, botol kaca, tin aluminium dan surat khabar lama untuk mendapatkan barang ditawarkan penyumbang pada program tersebut.

“MBSA juga akan menyediakan Pengoperasian Pejabat Bergerak Shah Alam On Wheels, Perpustakaan Bergerak dan jualan pokok serta baja kompos,” katanya lagi.