Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Solat Jumaat di Perlis batal, ganti Zohor di rumah

KANGAR, 13 MAC: Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bertitah solat Jumaat di seluruh negeri ini hari ini digantikan dengan solat Zohor di rumah masing-masing.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), bertitah perintah Raja Perlis itu setelah mendapat pandangan dan nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai perkembangan Covid-19, serta menerima panduan dan irshad daripada Jawatakuasa Fatwa Negeri Perlis.

“Bagi menjunjung titah perintah dan perkenan Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dengan ini memutuskan agar Solat Jumaat di seluruh Negeri Perlis pada tarikh 13 Mac 2020 digantikan dengan Solat Zohor di rumah masing-masing,” titah baginda dalam satu kenyataan MAIPs, hari ini.

Baginda bertitah hal ini adalah rentetan daripada perkembangan terbaharu seperti yang dimaklumkan oleh KKM agar sebarang perhimpunan berskala besar termasuk aktiviti agama hendaklah dielakkan.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah pihak pengurusan masjid di seluruh Perlis hendaklah mengelakkan daripada melaksanakan sebarang perhimpunan awam berskala besar buat masa ini.

Baginda menasihati individu Muslim sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan penularan wabak berkenaan.

– BERNAMA