Categories
EXCO SELANGOR

SSDU masih kaji sistem e-tunai Selangor

SHAH ALAM, 4 MAC: Pembangunan sistem e-tunai Selangor masih di peringkat kajian oleh Smart Selangor Delivery Unit, kata EXCO pelaburan Dato’ Teng Chang Khim.

“Projek itu sudah dibentangkan kepada EXCO tetapi kita masih memikirkan sama ada ia akan dilaksanakan menerusi aplikasi e-tunai atau gerbang pembayaran internet (Internet Payment Gateway),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Program ‘Pocket Talk’ di Hotel Concorde di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris dan CEO Central Spectrum (M) Sdn Bhd Mohamad Razif Abdul Wahab.

Pada 20 Januari lalu, Chang Khim berkata cadangan mewujudkan e-tunai Selangor adalah bagi menggalakkan budaya digital dan peralihan masyarakat tanpa tunai.

Jelasnya, penggunaan e-tunai mempunyai banyak manfaat terutama dari segi keselamatan, kebersihan dan memudahkan rekod aliran kewangan.

Oleh itu, kempen secara meluas dan komprehensif perlu dilaksanakan bagi mengalakkan orang ramai beralih kepada aplikasi e-tunai dan bukan lagi wang tunai.