Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Staf Hospital Teluk Intan positif Covid-19, tiada gangguan operasi

SHAH ALAM, 23 MAC: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan beberapa kakitangan perubatan di Hospital Teluk Intan dijangkiti Covid-19, namun tidak menggugat operasi hospital.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata langkah keselamatan dan pencegahan segera diambil serta pemantauan rapi dilaksanakan secara berterusan.

“Pengurusan Hospital Teluk Intan sudah mengambil tindakan pengawalan rapi dengan bantuan Pejabat Kesihatan Daerah Hilir Perak serta pencegahan untuk meminimumkan pendedahan terhadap kakitangan hospital, yang menjadi aktiviti utama sejak kes pertama jangkitan positif Covid-19 dikenal pasti,” katanya melalui hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau juga menggesa orang ramai tidak menularkan berita tidak sahih kerana dibimbangi mencetuskan kegusaran.

Sebelum ini, tular di media sosial mendakwa terdapat peningkatan bilangan kes positif Covid-19 dalam kalangan doktor sehingga menyebabkan operasi harian di Hospital Teluk Intan terganggu.