Categories
AGENSI SELANGOR

Sunyi jemaah kurang, separuh pagar dibuka untuk musafir

SHAH ALAM, 18 MAC: Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong membuka sebahagian pintu pagar utama bagi membolehkan jemaah musafir singgah menggunakan kemudahan yang ada, kata pengurusnya.

Abas Mohamad Yusof berkata suasana solat hari ini lebih sunyi berbanding sebelumnya kerana kebiasaannya hampir 100 jemaah hadir pada setiap waktu selain aktif dengan penganjuran program keagamaan.

“Kita sudah maklumkan kepada kariah lebih awal seperti ditetapkan pihak berkuasa menerusi paparan kain rentang. Hanya imam, bilal, noja, pengawal keselamatan dan pegawai bertugas sahaja yang solat berjemaah.

“Ada juga satu atau dua orang luar yang datang solat berjemaah kerana sudah terbiasa,” katanya kepada SelangorKini berhubung operasi masjid pada hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan hari ini.

Beliau berkata pihak masjid mengadakan bacaan Qunut Nazilah sejak minggu lalu sehingga semalam seperti dimaklumkan Jabatan Agama Islam Selangor.

Abas menasihatkan orang awam supaya mematuhi perintah dikeluarkan kerajaan sehingga hujung bulan ini selain berdoa supaya wabak Covid-19 dapat ditangani sepenuhnya secara berkesan.