Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tarik pelabur, pengembangan Pelabuhan Barat rancakkan ekonomi Selangor

PELABUHAN KLANG, 12 MAC: Peruntukan RM10.9 bilion bagi projek pengembangan Pelabuhan Barat mengukuhkan kedudukan Pelabuhan Klang sebagai antara terbaik dunia, sekali gus merancakkan ekonomi Selangor, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kapasiti pengendalian kontena di Pelabuhan Klang kini mencapai tahap 70 peratus dan projek pengembangan diperlukan bagi meningkatkan kecekapan operasi.

“Langkah Westport Holdings Bhd memperuntukkan perbelanjaan modal untuk pengembangan kemudahan terminal adalah langkah tepat bagi kepentingan jangka panjang.

“Kerajaan Negeri sentiasa berusaha merancakkan aktiviti ekonomi dan menyediakan kemudahan prasarana unggul bagi menarik perhatian pelabur asing dan tempatan berlabuh di Pelabuhan Klang,” katanya berucap sempena lawatan ke Pusat Logistik Pelabuhan Barat di sini hari ini.

Sementara itu, Amirudin berkata pembinaan pusat pengedaran IKEA (Malaysia) dengan kos pelaburan RM900 juta di Pulau Indah membuktikan keyakinan pelabur luar terhadap kecekapan Pelabuhan Klang.

“Operasi IKEA di Pulau Indah adalah pusat edaran ketiga terbesar dunia selepas Chicago, Amerika Syarikat dan Dusseldorf, Germany.

“Apa yang penting kerancakan ekonomi negeri akan mewujudkan banyak peluang perkejaan kepada rakyat,” katanya.