Categories
AGENDA NASIONAL

Tarik pengunjung, Selangor sedia baiki kemudahan di Kampung Kemensah

SHAH ALAM, 17 MAC: Selangor bersedia melaksanakan penambahbaikan infrastruktur di Kampung Kemensah, Hulu Kelang untuk menarik lebih ramai pengunjung ke kawasan itu, kata Dato’ Menteri Besar.

Bagaimanapun, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ia bergantung kepada keutamaan kerana terdapat kawasan pelancongan lain di negeri ini yang memerlukan perhatian sama.

“Peruntukan lazimnya menggunakan hasil cukai pelancongan yang dianggarkan 50 peratus daripada kutipan keseluruhan dan pada 2018 kita menerima RM10 juta daripada RM20 juta.

“Dana itu disalurkan kepada jawatankuasa pelancongan untuk menaik taraf kemudahan dan promosi,” katanya menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negeri Hulu Kelang Saari Sungib pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Saari meminta penjelasan daripada Kerajaan Negeri sama ada bersedia melaksanakan penambahbaikan terhadap infrastruktur di Kampung Kemensah seperti jalan raya, tandas dan tempat rehat.

Terdahulu, Amirudin berkata Tourism Selangor giat mempromosi Kampung Kemensah dan destinasi pelancongan lain di negeri ini melalui pelbagai platform.

“Bagaimanapun, promosi di luar negara sedikit terjejas apabila beberapa program seperti di Berlin, Jerman (Internationale Tourismus Borse) terpaksa dibatalkan susulan Covid-19,” katanya.
berikutan wabak Covid-19,” katanya.