Categories
AGENDA NASIONAL

Tindakan bersepadu kawal kelestarian sungai

SHAH ALAM, 16 MAC: Tindakan bersepadu perlu untuk menangani isu pencemaran sungai secara kolektif  sekali gus menangani masalah henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) dan gangguan bekalan, titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah sebanyak 11 insiden pencemaran sungai berlaku di negeri ini namun berjaya ditangani dalam tempoh 24 jam oleh Lembaga Urus Air Selangor, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd dan Jabatan Alam Sekitar .

“Berikutan itu, menerusi mesyuarat pengurusan tertinggi menangani pencemaran sumber air peringkat negeri, satu rangka kerja jangka pendek dan panjang melibatkan semua agensi Negeri Selangor sedang disediakan,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Kali Ke-14 Tahun 2020 di Bangunan Annex di sini hari ini.

Titah baginda lagi, sungai merupakan nadi kehidupan dan menjadi aset penjanaan ekonomi negeri ini tetapi pembangunan pesat di lembangan sungai turut memberikan kesan ke atas kualiti air.

Justeru, Sultan Sharafuddin bertitah pelbagai inisiatif dilaksanakan Kerajaan Negeri seperti pelaksanaan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM) bagi menjamin kelestarian sumber air selaras matlamat pembangunan lestari (SDGs) pada peringkat global.