Categories
AGENDA NASIONAL

Tun M harap Muhyiddin teruskan dasar Pakatan

SHAH ALAM, 11 MAC: Tun Dr Mahathir Mohamad berharap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meneruskan dasar-dasar kerajaan Pakatan Harapan (Pakatan) termasuk Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

“Saya minta kalau boleh Kabinet jangan gugurkan dasar-dasar baik yang telah kita adakan. Umpamanya Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030).

“Itu dasar yang baik dan orang yang mencipta dasar itu juga ada dalam Kabinet. Jangan gugurkan,” kata perdana menteri ketujuh yang menerajui negara selama 22 bulan, seperti dilapor Sinar Harian.

Pada 9 Mac, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan kerajaan Perikatan Nasional berazam meneruskan WKB2030.

Bekas menteri hal ehwal ekonomi juga menyifatkan wawasan tersebut penting bagi meletakkan negara di landasan pembangunan yang mampan dan inklusif.

WKB 2030 yang dilancarkan pada Oktober lalu menetapkan hala tuju ekonomi negara bagi tempoh 10 tahun bermula 2021 melalui tiga objektif utama iaitu:

– Pembangunan untuk semua.
– Menangani jurang kekayaan dan pendapatan.
– Negara bersatu, makmur dan bermaruah.