Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Ujian Covid-19: Kementerian Kesihatan giat kesan 5,000 peserta tabligh

SHAH ALAM, 11 MAC: Semua Jabatan Kesihatan Negeri kini menjejaki lebih 5,000 peserta Malaysia yang menyertai perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling pada 27 Februari hingga 1 Mac lalu, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata siasatan susulan seorang lelaki warga Brunei yang menyertai himpunan tersebut disahkan positif Covid-19 selepas pulang ke negara asalnya dan menjadi kes pertama di negara itu, lapor Berita Harian.

“Berdasarkan maklumat awal, perhimpunan tabligh ini membabitkan anggaran sejumlah 10,000 orang dari beberapa buah negara termasuk Malaysia.

“Peserta dari Malaysia dianggarkan melebihi 5,000 orang. Semua Jabatan Kesihatan Negeri sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai perkara ini di negeri masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kementerian Kesihatan Brunei hari ini mengesahkan pesara berusia 53 tahun itu ke Kuala Lumpur pada 27 Februari lalu untuk menghadiri perhimpunan berkenaan dan kembali ke Brunei pada 3 Mac melalui Miri, Sarawak dengan menaiki pesawat Air Asia.

Dia juga membuat lawatan sehari ke Miri pada 6 Mac dan mula menunjukkan gejala pada 8 Mac dan disahkan positif Covid-19 pada 9 Mac.