Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Wanita perlu faham, tahu hak – Juwairiya

SHAH ALAM, 14 MAC: Pembangunan kapasiti, kualiti kepimpinan dan hak perundangan wanita antara komponen penting yang akan diberi tumpuan sejajar dengan sedekad perkembangan Pusat Wanita Berdaya (PWB) di Selangor, kata Pengerusi Institut Wanita Berdaya (IWB).

Juwairiya Zulkifli  berkata masih ramai wanita tidak faham hak dan undang-undang yang dapat melindungi mereka daripada didiskriminasi  atau ditindas  walaupun pelbagai inisiatif telah dilakukan.

“Ini dapat dilihat apabila masih banyak kes keganasan rumah tangga, gangguan seksual sehingga memberi tekanan kepada wanita,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati bangga apabila sebahagian penyelia PWB Dewan Undangan Negeri (DUN) diangkat sebagai Ahli Majlis di kawasan masing-masing.

“Ia membuktikan terdapat impak positif hasil daripada perancangan Kerajaan Negeri dalam membangunkan kepimpinan serta kualiti pembangunan wanita di negeri ini.

“Syabas kepada Kerajaan Negeri kerana tekad meneruskan agenda pemberdayaan wanita dan memberi fokus terhadap pembangunan golongan ini,” katanya.

Terdahulu, PWB menjadi medan pemberdayaan wanita dari aspek ilmu kemahiran dan latihan bertujuan membina keyakinan, jati diri serta menambah pendapatan mereka dan keluarga.