Categories
AGENSI SELANGOR

Wasiat harta pusaka, Mais anjur siri ceramah

SHAH ALAM, 6 MAC: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) meneruskan siri ceramah berkaitan pentingnya mewasiatkan harta pusaka bagi mengelakkan berlaku perbalahan dalam kalangan waris, kata Ketua Unit Pemasaran Bahagian Harta Baitulmal agensi itu.

Mohammad Salleh Abdul Saha berkata, pihaknya mendapati masih ramai umat Islam yang mengabaikan pengurusan harta kerana menganggap perkara itu mudah diselesaikan jika mereka meninggal dunia.

“Pengurusan awal harta pusaka dengan mewasiatkan dapat mengelak pergaduhan atau perebutan harta pusaka antara waris sebagaimana kerap berlaku,” katanya menerusi hantaran di Facebook semalam.

Justeru, katanya, ketua keluarga dinasihat segera melaksanakan tanggungjawab mewasiatkan harta pusaka dimiliki demi keharmonian waris yang ditinggalkan.