SHAH ALAM, 16 APRIL: Seramai 108 peserta Skim Smart Sewa menikmati penangguhan bayaran sewa tiga bulan seperti ditawarkan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin Covid-19.
Pemangku Pengurus Besar Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSSB), Wan Mohd Fadzli Mohd Yusoff berkata mereka diberikan pengecualian secara automatik manakala 314 lagi meneruskan pembayaran seperti biasa.
“Mereka yang memohon untuk meneruskan pembayaran seperti biasa akan mendapat 30 peratus pulangan sewa yang dibayar selepas skim ini tamat.
“Diharapkan inisiatif itu dapat membantu mereka yang terjejas ketika wabak Covid-19,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Skim Smart Sewa memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang tidak berupaya memiliki Rumah Selangorku untuk memiliki kediaman sendiri.
Pada 20 Mac lalu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan penangguhan bayaran sewa tiga bulan bagi peserta Skim Smart Sewa dengan membabitkan peruntukan RM600,000.
Ia merupakan antara tujuh inisiatif yang terkandung dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin Covid-19 kepada golongan yang terkesan.