KUALA LUMPUR, 26 APRIL: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima kira-kira 300,000 permohonan permit pergerakan antara negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam tempoh 12 jam melalui aplikasi Gerak Malaysia.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata daripada jumlah tersebut, 100,000 individu memohon untuk mendapatkan permit pergerakan bagi melakukan perjalanan kerana terkandas di kampung halaman dan tidak sempat pulang ke rumah masing-masing susulan pengisytiharan PKP.
“Angka tersebut dijangka meningkat berkali ganda menjelang 29 April.
“Amat perlu bagi polis memastikan bahawa setiap permohonan yang diterima adalah untuk tujuan yang dibenarkan sahaja, supaya perancangan pergerakan antara negeri dapat berjalan dengan lancar dan tidak menyulitkan pengguna-pengguna lebuh raya atau jalan raya yang terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata dalam tempoh yang ditetapkan, pihak polis akan memantau dan menilai trend permohonan yang diterima melalui aplikasi tersebut.
Hasil pemantauan dan penilaian, katanya, akan dimaklumkan kepada kerajaan agar tarikh pergerakan seperti mana yang diumumkan semalam dapat dikaji semula dan diselaraskan mengikut jumlah permohonan yang diterima.
Huzir juga menasihatkan orang ramai agar dapat memberi kerjasama dengan hanya memohon untuk mendapatkan permit pergerakan atas sebab sahih seperti yang ditetapkan.
Beliau berkata kerjasama semua pihak adalah penting bagi memastikan sistem apliksasi tersebut dapat dimanfaatkan oleh mereka yang perlu untuk melakukan pergerakan antara negeri.
“Perkembangan lanjut mengenai jadual pergerakan antara negeri tersebut akan diumumkan kelak,” katanya.
Hari ini Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dipetik sebagai berkata bahawa tarikh pergerakan kepada mereka yang berada di kampung untuk pulang ke destinasi masing-masing bukan bermula pada 1 Mei ini.
Ismail membuat pengumuman pada Rabu lepas bahawa orang ramai yang pulang ke kampung halaman sebelum tempoh PKP dan kini ingin kembali ke rumah masing-masing boleh membuat permohonan bagi tujuan itu.
– BERNAMA