SHAH ALAM, 28 APRIL: Seramai 4,878 lagi pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) akan dihantar pulang ke kampung masing-masing esok.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata penghantaran pulang itu melibatkan pelajar yang belajar dan tinggal di dalam zon sama.
“Pada malam esok seramai 653 pelajar yang berada dalam zon utara akan dihantar ke rumah masing-masing di zon utara sementara zon timur seramai 1,165.
“Bagi zon Sabah ke Sabah melibatkan 2,164 pelajar, zon Sarawak 833 pelajar dan zon Labuan 11 pelajar,” kata beliau pada sidang media harian di Putrajaya hari ini.
Semalam kerajaan mengumumkan penghantaran pulang seramai 1,128 pelajar membabitkan sembilan IPTA dan IPTS dari zon tengah dan zon utara. Penghantaran itu dilakukan secara berperingkat.
Sebagai langkah keselamatan, bas dan bagasi milik pelajar melaui proses nyahkuman sebelum bertolak.