SHAH ALAM, 29 APRIL: Kejayaan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) mengenal pasti lapan individu tidak bergejala, bukti pentingnya mereka dikesan lebih awal menerusi Saringan Komuniti yang bersifat proaktif.
Pengerusi STFC, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata ini kerana individu yang tidak bergejala (asymptomatic) adalah agen pembawa virus SARSCoV-2 atau Covid-19.
“Mengikut kajian terkini, replikasi virus dalam tubuh pesakit serta rembesan virus semasa batuk dan bersin, adalah maksima beberapa hari sebelum bergejala dan pada minggu pertama bergejala.
“(Sehubungan itu) Sangat mustahak untuk peribadi (pesakit tidak bergejala) ini dikesan awal secara Saringan komuniti yang bersifat proaktif,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Dr Dzulkefly berkata STFC menggunakan kaedah ‘Big Data Analytics’ dan kepintaran mesin untuk mengenal pasti peringkat risiko dalam zon merah untuk lebih bersasar.
“Teruskan usaha kita untuk memutuskan rantaian transmisi (Covid-19) sekali gus melandaikan keluk epidemik,” katanya.
Semalam Dato’ Menteri Besar berkata seramai 10 daripada 5,433 individu yang disaring dalam beberapa pemeriksaan komuniti bersasar di bawah Inisiatif Saringan Komuniti Covid-19 Kerajaan Selangor disahkan positif Covid-19.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata lapan daripada 10 kes positif tersebut adalah pesakit tidak bergejala.