SHAH ALAM, 10 APRIL: Bas Smart Selangor melalui proses dinyahkuman setiap kali selepas membawa warga Malaysia yang baru pulang dari luar negara ke pusat kuarantin, kata EXCO pengangkutan.
Ng Sze Han berkata kerja pembersihan dilakukan mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan.
“Justeru, orang ramai khususnya mereka yang akan menaiki bas tersebut selepas ini tidak perlu bimbang kerana semuanya sudah mengikut peraturan ditetapkan,” katanya.
Sze Han berkata sebanyak 20 Bas Smart Selangor disediakan bagi membawa rakyat Malaysia yang tiba di lapangan terbang bermula 3 hingga 14 April ini.
Beliau berkata bas itu beroperasi dari jam 7 pagi hingga 10 malam tertakluk kepada keperluan Agensi Pengurusan Bencana Negara.
“Kekerapan perjalanan Bas Smart Selangor bergantung kepada jadual penerbangan, dan setiap sebuah bas boleh memuatkan 25 penumpang.
“Jarak perjalanan tidak sama memandangkan pusat kuarantin ada yang terletak di Kuala Lumpur dan ada juga di Selangor,” katanya.
Pada 1 April lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Kerajaan Negeri sedia menawarkan perkhidmatan Bas Smart Selangor untuk membawa penumpang yang tiba di lapangan terbang ke pusat kuarantin mengikut tatacara oeprasi piawai ditetapkan KKM.
Ini susulan keputusan Kerajaan Pusat yang meminta semua warga Malaysia yang baru tiba dari luar negara menjalani kuarantin di tempat khas selama 14 hari bagi mengekang penularan wabak Covid-19.