Categories
AGENDA NASIONAL

Bekas ketua trafik Bukit Aman meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh

KUALA LUMPUR, 25 APRIL: Bekas Timbalan Pengarah Siasatan Jenayah dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Mohd Fuad Abdul Latiff, 62, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh (HSB), awal pagi ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador turut menyampaikan ucapan takziah buat ahli keluarga allahyarham yang dimuat naik dalam akaun Facebook rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM)

Allahyarham telah berkhidmat selama 39 tahun di dalam pasukan dari tahun 1978 sehingga menjalani persaraan wajib pada 7 Jun, 2017.

Selain memegang jawatan Timbalan Ketua Polis Selangor, Mohd Fuad pernah menyandang beberapa jawatan penting dalam pasukan PDRM termasuk Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan), Jabatan Pengurusan Bukit Aman.

Difahamkan, Allahyarham dirawat di HSB sejak pertengahan bulan ini.

Hantaran di Facebook itu bagaimanapun tidak menyebut sebab kematian.

– BERNAMA