Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19 catat dua angka bukan lesen langgar PKP

KUALA LUMPUR, 19 APRIL: Meskipun selama dua hari berturut-turut kes baharu jangkitan Covid-19 di dalam negara mencatatkan dua angka, namun itu bukan bermakna rakyat boleh menghela nafas lega dan terus berasa selesa dengan tidak mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Masuk hari ke-33 PKP, pastinya ramai yang tidak sabar untuk menghirup udara di luar rumah dan mahu kembali kepada rutin normal, namun harus diingat bahawa dua angka bukan bermakna riwayat virus itu sudah berakhir.

Bak kata ‘Jeneral Perang’, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, masyarakat tidak seharusnya alpa lalu mengambil mudah PKP hanya kerana kes baharu menunjukkan penurunan, sebaliknya perlu terus patuh agar rantaian penularan jangkitan dapat diputuskan.

“Walaupun perkembangan dalam penurunan kes ini sememangnya positif, namun masyarakat masih perlu berada di rumah, mengamalkan jarak sosial yang selamat sekurang-kurangnya satu meter dari orang lain dan kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun,” katanya.

Bukan sahaja orang kebanyakan, jika anda datang dari golongan orang kenamaan sekalipun, jangan rasa kebal dengan undang-undang kerana itu bukan lesen untuk melanggar peraturan termasuklah berhimpun beramai-ramai, keluar rumah sesuka hati dan tidak mengamalkan jarakan sosial.

Seperti mana yang ditegaskan oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam: “Tiada sesiapa yang boleh mengatasi undang-undang”.

Beliau juga mengingatkan masyarakat agar jangan terlalu yakin hingga melanggar perintah PKP, kerana sekiranya pelanggaran itu menyebabkan berlakunya semula penyebaran virus, akhirnya PKP tidak akan dapat ditamatkan.

“Sebab itu Ketua Polis Negara (Tan Sri Abdul Hamid Bador) memberi amaran, jika rakyat masih ingkar mungkin PKP ini akan terus disambung lagi. Itu adalah peringatan kepada rakyat,” katanya.

Tan Sri Abdul Hamid Bador pula semalam menyelar tindakan mereka yang keluar rumah tanpa alasan munasabah, dan menganggap mereka yang keluar secara beramai-ramai di kawasan tiada sekatan jalan raya sebagai golongan yang mementingkan diri dan tidak bertanggungjawab.

“Mereka ini hanya menipu diri sendiri, serta mendedahkan ahli keluarga kepada risiko jangkitan Covid-19,” katanya.

Justeru, jika mahu melihat Covid-19 mencecah angka sifar dan sekali gus dapat mengucapkan selamat tinggal kepada PKP, panjangkanlah lagi tahap kesabaran dengan terus duduk rumah diam-diam dan patuhi sahaja segala arahan yang digariskan sepanjang krisis ini.

-BERNAMA