KUALA LUMPUR, 7 APRIL: Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengambil langkah drastik dengan menangguhkan semua kejohanan termasuk pertandingan gred dua dan tiga yang dijadualkan dari Mei hingga Julai disebabkan oleh pandemik Covid-19 global.
BWF dalam kenyataan dikeluarkan semalam berkata, keputusan itu dicapai selepas merundingi negara tuan rumah dan juga persekutuan-persekutuan benua.
“Peningkatan pandemik Covid-19 global telah mendorong semua pihak mengesahkan untuk menangguhkan kejohanan berkenaan. Kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan semua atlet, rombongan mereka, pegawai dan komuniti badminton secara menyeluruh kekal menjadi keutamaan,” menurut kenyataan itu.
Minggu lepas, BWF memutuskan untuk membekukan Ranking Dunia dan Ranking Remaja Dunia juga dibelakangkan tarikhnya ke 17 Mac sehingga notis selanjutnya berikutan pandemik itu.
Badan induk sukan badminton dunia itu juga mendedahkan pihaknya juga sedang menyemak impak daripada penjadualan semula Olimpik Tokyo 2020 dan Sukan Paralimpik terhadap sistem kelayakan ke Olimpik dan Paralimpik.
Pertandingan gred dua yang terjejas dengan penangguhan itu adalah Terbuka Crown Group Australia dijadual diadakan dari 2-7 Jun, Terbuka Toyota Thailand ( 9-14 Jun), Terbuka Indonesia (16-21 Jun) dan Terbuka Rusia (7-12 Julai).
Kejohanan bagi gred tiga yang ditangguhkan adalah Cabaran Li-Ning Denmark yang sepatutnya diadakan dari 7-10 Mei, FZ Forza Slovenia International (13-16 Mei), Yonex Latvia International (28-31 Mei), Cabaran Antarabangsa Ciputra Hanoi–Yonex Sunrise Vietnam (2-7 Jun).
Kejohanan lain yang terjejas adalah RSL Lithuanian International (4-7 Jun), Canada Para Badminton International ( 9-14 Jun), Russian International Junior White Nights ( 25-28 Jun), White Nights (1-5 Julai) dan Kejohanan Badminton Remaja All-England (16-19 Julai).
– BERNAMA