Categories
AGENDA NASIONAL

Duduk di rumah, jangan kunjungi saudara-mara

SHAH ALAM, 8 APRIL: Individu tidak sihat dan menjalani kuarantin di rumah diingatkan supaya tidak mengunjungi saudara-mara sekali gus ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kesal sikap segelintir individu yang tidak mengendahkan kepentingan menjalani kuarantin di rumah bagi mengekang penularan Covid-19 seperti dikehendaki di samping pertambahan kenderaan di jalan raya, lapor Harian Metro.

“Mengambil kira situasi semasa ini, kita ingin menggesa orang ramai supaya kekal patuh kepada PKP. Ini adalah amat penting bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Bagi kes kematian ke-64 Noor Hisham berkata mangsa dan beberapa orang lain meneruskan perjalanan ke luar kawasan iaitu ke dua negeri walaupun PKP berkuat kuasa mulai 18 Mac lalu.

Berbaki tempoh kurang seminggu sebelum PKP fasa kedua berakhir pda 14 April, beliau menasihatkan orang ramai supaya duduk di rumah sambil mengamalkan beberapa amalan penjagaan kesihatan bagi mengekang penularan Covid-19.