Categories
AGENDA BERITA UTAMA

E-pembelajaran : Lebih 4,000 pelajar mendaftar setakat ini

SHAH ALAM, 3 APRIL: Seramai 4,295 murid tahun satu hingga tingkatan lima mendaftar program e-pembelajaran percuma menerusi laman sesawang selangortutor.com sebaik ia diumumkan Dato’ Menteri Besar semalam, kata pengarah kanan Pendidikan Yayasan Selangor.

Zahura Zakry berkata pembelajaran secara dalam talian yang bermula 1 April sehingga 31 Mei, menyasarkan 250,000 pelajar di bawah pengurusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

“Selari dengan teras perniagaan Yayasan Selangor, kita tekad memastikan semua pelajar di negeri ini tidak ketinggalan dalam pembelajaran walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Meskipun KPM mengumumkan pelbagai bentuk bantuan pelajaran dalam talian, namun inisiatif yang digerakkan Kerajaan Negeri bakal memberi nilai tambah terhadap pelajar kerana kita mahu mereka tetap merasai pembelajaran secara berterusan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Rabu lalu Kerajaan Negeri menerusi Pakej Rangsangan Selangor Prihatin 2.0 mengumumkan program e-pembelajaran yang turut mendapat kerjasama Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) manakala Yayasan Selangor selaku agensi penyelaras.

Lebih 130,000 soalan latih tubi disediakan dalam aplikasi yang mengikut piawaian kurikulum KPM. Ibu bapa boleh mengakses program itu untuk memantau perkembangan pembelajaran anak masing-masing.

Berikut cara pendaftaran selangortutor.com :

1) Layari laman sesawang selangortutor.com
2) Klik butang daftar
3) Pilih nama sekolah dan peringkat
4) Isi maklumat ibu bapa dan anak
5) Klik butiran langganan
6) Pendaftaran berjaya

Cara layari selangortutor.com :

1) Layari laman sesawang selangortutor.com
2) Log masuk
3) Laman Profil
4) Klik modul – pilih subjek
5) Pilih topik
6) Mula membuat latihan
7) Keputusan serta merta
8) klik subjek dan laporan