SHAH ALAM, 26 APRIL: Kerajaan Negeri sedang mengkaji kaedah untuk mempercepatkan proses pembelian pandu lalu kepada kira-kira 15 minit bagi setiap pelanggan di Pasar Agro Selangor di Laman Niaga Komuniti Bandar Baru Bangi.
EXCO Industri Asas Tani Ir Izham Hashim berkata langkah bagi mengelak kesesakan turut mengambil kira faktor keselamatan dan kesihatan pengunjung susulan penularan wabak Covid-19.
“Kita akan fikirkan kaedah untuk percepatkan pembelian secara pandu lalu ini kerana tidak mahu berlaku kesesakan dan pada masa sama semua dapat membeli barangan secara terkawal,” katanya pada sidang media di Laman Niaga Komuniti Bandar Baru Bangi hari ini.
Pada masa sama, beliau berkata konsep tempahan awal juga memudahkan orang ramai kerana pelanggan tidak perlu berada di pasar untuk jangka masa yang lama.
“Bagaimanapun, kita akan melihat beberapa aspek lagi yang boleh diperbaiki untuk pasar segar ini supaya dapat beroperasi secara teratur. Ia akan dibincang dalam tempoh sehari dua ini,” katanya.
Pasar Agro Selangor yang berkonsepkan pandu lalu dan tempahan awal setiap Rabu dan Ahad bertujuan menyediakan barang keperluan dan hasil tani kepada penduduk setempat berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ir Izham berkata Kerajaan Negeri juga bercadang untuk menambah lebih banyak pasar segar itu di beberapa tempat di negeri ini bagi memberi kemudahan kepada rakyat Selangor.