Categories
AGENDA NASIONAL

Kajian vaksin cegah Covid-19 dijangka setahun

SHAH ALAM, 12 APRIL: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan penyelidikan terhadap vaksin yang sedang dijalankan bagi mencegah Covid-19 mengambil masa kira-kira setahun, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kajian sama turut dilakukan beberapa pertubuhan antarabangsa termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Gabungan Inovasi Persediaan Wabak (CEPI).

“Sama-sama kita tunggu dan berharap dapat ditemukan vaksin dalam masa setahun ini,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai ubat Tocilizumab untuk merawat penyakit itu, Dr Noor Hisham berkata kajian sedang dilaksanakan bersama Universiti Malaya dan empat hospital di bawah KKM.

Beliau berkata pihaknya berharap penyelidikan itu dibuat mengikut tatacara operasi piawai (SOP) serta mampu mengekangnya dan jika kajian memperoleh vaksin berkesan maka akan digunakan untuk meningkatkan antibodi setiap orang.

“Namun, ubat untuk perawatan pesakit tahap tiga dan tahap empat kita ada pilihan yang terbaik cuma kita sedang pantau kesan sampingan,” katanya.