SHAH ALAM, 26 APRIL: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sepang memeriksa 53 barangan peruncit dan pemborong di Pasar Awam Dengkil semalam.
KPDNHEP dalam kenyataan memaklumkan hasil pemantauan didapati peniaga mengikut arahan dengan mempamerkan tanda harga barangan yang dijual.
“Malah, hasil pemeriksaan juga kita dapati aktiviti perniagaan di pasar awam berjalan mengikut arahan waktu operasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan kerajaan iaitu dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari,” tulisnya di Facebook KPDNHEP Selangor.
Pada masa sama, KPDNHEP turut menasihatkan peniaga agar terus mematuhi undang-undang dan perintah yang telah dikuatkuasakan manakala pengguna juga perlu bijak membuat perbandingan harga ketika membeli.
Kementerian itu turut berkata pihaknya akan melakukan pemeriksaan secara berterusan sepanjang PKP bagi memastikan tiada salah laku dalam kalangan peniaga.