SHAH ALAM, 13 APRIL: Ibu bapa dan penjaga tidak perlu bimbang dengan kebajikan anak mereka yang sedang menetap di asrama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, kata Rektor Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis).
Prof Dato’ Ab Halim Tamuri berkata pihaknya memberi jaminan penuntut yang berada di kampus dilayan baik termasuk memastikan bekalan makanan cukup.
“Saya minta supaya keluarga tidak risau keadaan anak-anak mereka kerana kita jaga dengan baik malah saya dimaklumkan Kerajaan Selangor akan meneruskan agihan makanan kepada mahasiswa untuk PKP fasa ketiga ini.
“Kita juga faham kebanyakan mereka mahu pulang ke rumah masing-masing, tetapi saya sudah mengarahkan pegawai untuk menerangkan situasi sebenar kepada pelajar agar bersabar kerana kita perlu memutuskan rantaian Covid-19,” katanya ketika dihubungi.
Semalam, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bersetuju dengan keputusan kerajaan supaya pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam dan swasta terus kekal berada di lokasi masing-masing sehingga arahan terbaharu dikeluarkan.
KPT juga masih memperhalusi cadangan membenarkan penuntut yang masih tinggal di asrama dan kolej untuk dibawa pulang ke rumah masing-masing.