Categories
AGENSI SELANGOR

Langgar akta kawalan harga, peniaga dikompaun RM4,800

SHAH ALAM, 19 APRIL: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Selangor mengesan 45 kes peniaga melakukan kesalahan termasuk melanggar Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011 sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarahnya Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata sejumlah RM4,800 kompaun dikeluarkan kepada peniaga kerana kesalahan menaikkan harga barang, tiada tanda harga dan tanda harga tidak jelas.

“Sejak PKP bermula dan sehingga semalam, sejumlah 1,507 premis diperiksa di seluruh negeri. Tumpuan kita tetap sama iaitu mengesan peniaga yang mengambil kesempatan ketika PKP ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamad Zikril Azan memberi contoh tindakan terhadap sebuah pasar raya di Klang semalam yang didapati menjual satu jenama beras pada harga mengelirukan pengguna, sejak setahun lalu.

Susulan itu, katanya satu tindakan kes diambil berdasarkan aduan pengguna ke atas item beras yang tidak sama harga dipaparkan dengan harga dibayar.

“Semakan mendapati, harga runcit disyorkan oleh pengeluar yang dipamerkan pada plastik pembungkus beras 10 kilogram adalah RM53.30 tetapi tanda harga dipamerkan untuk jualan dan harga di kaunter pembayaran pula RM54.70.

“Semakan dalam sistem inventori mendapati harga jualan sejak dari Mei 2019 sehingga April 2020 adalah RM54.70 dengan purata kos belian dari pembekal RM47.40,” katanya.

Tambahnya, kekeliruan berkaitan harga pada item terbabit disyaki salah mengikut Seksyen 12 Akta Perlindungan Pengguna (APP) 1999 dan Seksyen 14 Akta Perihal Dagang (APD) 2011.