SHAH ALAM, 10 APRIL: Lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 28 April, akan memberi ruang kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terus memerangi penularan Covid-19, kata ketua pengarah kesihatannya.
Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata sepanjang tempoh PKP, KKM telah membendung wabak berkenaan kepada tahap yang sedikit stabil.
“Ini dapat diperhatikan daripada trend kes Covid-19 dan trajektori yang diunjurkan melalui kajian yang dijalankan oleh KKM.
“Namun begitu, ia masih di peringkat pertengahan dan memerlukan tindakan pencegahan serta kawalan yang berterusan.
“Pembanterasan juga perlu dipesatkan bagi memutuskan rantaian jangkitan,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya hari ini.
Hari ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKP yang dimulakan pada 18 Mac lalu dilanjutkan sehingga 28 April ini kerana penularan wabak itu belum berakhir.