Categories
AGENDA NASIONAL

Operasi mesin ATM terhad 12 jam sepanjang PKP

SHAH ALAM, 19 APRIL: Kerajaan hari ini memutuskan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) hanya beroperasi 12 jam sehari dari 8 pagi hingga 8 malam, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata langkah itu bagi memastikan tiada orang awam keluar pada lewat malam dengan alasan mahu mengeluarkan wang di mesin ATM yang beroperasi 24 jam.

“Polis melaporkan apabila mesin ATM beroperasi 24 jam, ramai beri alasan untuk keluarkan wang, termasuk melebihi waktu ditetapkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Jadi, kita buat keputusan operasi mesin ATM hanya beroperasi jam 8 pagi hingga 8 malam sahaja, maka tidak ada alasan keluar tengah malam untuk mengeluarkan wang,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, sebanyak 11 penjara sementara yang diwujudkan kerajaan bagi menempatkan pesalah ingkar PKP akan mula beroperasi mulai 23 April ini.

“Kita akan menyediakan pegawai dari Kementerian Kesihatan untuk memastikan penjarakan sosial dipatuhi,” katanya.

Pada 15 April lalu, Ismail Sabri berkata Kementerian Dalam Negeri akan mewartakan 13 akademi penjara di seluruh negara sebagai pusat tahanan pesalah PKP kerana kerajaan tidak lagi berkompromi dengan golongan tersebut.