Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

Pasar Agro Selangor tambah satu lagi lokasi minggu hadapan

SHAH ALAM, 17 APRIL: Satu lagi lokasi Pasar Agro Selangor akan ditambah bagi memastikan rantaian bekalan makanan mencukupi, kata Dato’ Menteri Besar.

“Insya-Allah kita akan tambah satu lokasi mulai minggu depan supaya bekalan makanan mencukupi,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika diwawancara di Facebook Pemuda Amanah malam tadi.

Sembilan lokasi sedia ada ialah Pusat Operasi Fama Dengkil, Puchong, Kuala Selangor, Sabak Bernam, Pasar Borong Tani Fama Selayang, Farm Outlet Putrajaya, Holysmoke Seksyen 13 Shah Alam, MadAboutCake Petaling Jaya dan MakUda Seksyen 15 Shah Alam.

Beliau berkata Pasar Agro Selangor membuka peluang lebih besar kepada petani dan penternak untuk memasarkan produk mereka secara terus kepada pembeli.

“Malah, komuniti akan mendapat harga sekitar 20 hingga 30 peratus lebih murah berbanding harga di pasaran,” katanya.

Amirudin berkata sebanyak RM3 juta nilai jualan dibuat dalam Pasar Agro Selangor setakat minggu lalu.