Categories
BUDAYA RENCANA

Pasar sunset di Kota Kinabalu

 Oleh Nasser Mikraj

 

SAYA mungkin seekor rusa di rahang singa apabila dia merenung saya seperti segerombolan dubuk di padang savana. “Kau tahu selepas saya, ada sesuatu yang lebih menarik di sini.” Tanpa sempat saya mengeyakan apa-apa mahupun bertanyakan makna renungan itu, dia terus menyambung. “Sebenarnya di sini, sunset boleh dibeli.” Saya terdiam yang hampir menyamai fiksyen ‘dia terdiam’ dalam ranah media pasca politik baharu. Angin berlari di antara kami. Kesibukan kota lalu-lalang pada penglihatan tetapi kata-katanya telah duduk dalam pemikiran saya.

“Di mana?” saya dapat merasakan soalan saya itu membentuk susuk Andre Breton yang tersenyum sambil membacakan manifesto surealis beliau. “Masuk ke sini,” ujarnya serius sambil membuka dompet. “Jangan risau, saya ejen bertauliah. Saya boleh tunjukkan jalan,” tambahnya. Pandangan saya bersilih ganti antara memandang dia serta pintu pada dompetnya yang mula terbuka. Seorang penyambut tetamu dengan tanda nama ‘Afi’ muncul dari daun pintu dompet itu dan mempelawa saya masuk. Saya memeriksa dompet saya sendiri sebelum akhirnya bersetuju untuk mengikuti dia.

Di dalam dompetnya, kami menaiki tren sebelum berhenti di salah sebuah stesen. Saudara boleh menuduh saya mereka-reka cerita, tapi percayalah genap seminit saya di sini, saya sudah boleh menyediakan satu set jawapan mengenai misteri kehilangan wakil-wakil rakyat kita tidak kiralah sewaktu persidangan parlimen ataupun ketika kehidupan marhaen menjadi begitu menakutkan di luar sana.

“Ayuh ke sana,” ujar dia semena-mena. Suaranya timbul tenggelam dalam keriuhan. Di udara, saya melihat frekuensi suaranya terumbang-umbang dalam banjir suara. Pendengaran saya bingkas menyelamatkannya. Di hujung stesen, kaunter masuk ke pasar sudah mula dibuka. Kami mula beratur. Barisan memanjang membelit perut stesen sama seperti barisan ketika saya dan marhaen lain beratur untuk mendapatkan bantuan kewangan di pejabat kerajaan yang cuma ada satu kaunter dibuka. Mujur kami dapat mencelah di barisan yang terawal.

“Tuan juga mahu beli sunset?” Saya menyapa seorang lelaki tua berbadan sintal di belakang saya. Beliau berdehem.

“Oh maaf. Errr.. Datuk Sri? Tan Sri?”

“Tan Sri!” tegas beliau. Saya cepat-cepat memohon maaf dan kembali mengulang soalan yang sama. “Saya mahu membeli malam yang selesa untuk tidur,” jawab beliau sebelum disibukkan dengan panggilan telefon. Saya hanya mengangguk. Ketika tiba giliran kami, saya sempat mendengar kesuk-kesik suara yang berharap stok hujan dan matahari masih ada untuk dibeli.

“Nama?” soal penjaga kaunter sambil bersedia untuk menuliskan nama saya di buku pendaftaran. Saya memberitahu nama sambil memindahkan persoalan “apa fungsi dia menjadi ejen kalau saya sendiri harus menyelesaikan urusan ini di kaunter” kepada dia yang hanya mengisyaratkan untuk saya meneruskan saja. “Kamu politikus?” Saya menggelengkan kepala. “Justeru, atas kelayakan apa kamu masuk ke sini?” pertanyaan itu seperti muncung AK47 yang siap dibidik tepat ke dahi saya. “Err.., saya penyair!” Penjaga kaunter mengangkat muka memandang saya. “Oh, penyair. Tidak ubah juga seperti politikus. Kerap bermulut manis.” Penjaga kaunter tersengih sebelum menyelesaikan urusan pendaftaran saya. Tiket dihulur.

Dia yang sedari tadi tidak berbuat apa-apa bingkas menarik tangan saya menyerbu masuk ke perut pasar. Ironinya pasar di sini tidak sehingar pasar malam di tempat saudara. Proses tawar-menawar berlangsung rancak namun masih dalam frekuensi suara yang terkawal. “Sunset yang menarik harus memiliki senja yang cantik. Jadi kita harus membeli senja terlebih dahulu,” ujar dia sambil membawa saya kepada peniaga senja.

“Senja yang manakah tuan mahu? Ada harga ikut ikat, timbang kilo atau tuan juga boleh ambil harga borong,” peniaga senja membuka tawaran. Melihat saya kebingungan, peniaga senja mendekati saya dan mula berkata separuh berbisik; “Kalau tuan mahu yang lebih istimewa, boleh ambil ini,” ujarnya sambil mengeluarkan senja berbentuk sampul surat dari poketnya. Saya teragak-agak. “Ini senja Seno untuk Alinanya yang berjaya saya curi. Tuan boleh milikinya sekarang dengan harga diskaun,” ujar peniaga senja lagi sambil tersengih. Saya pantas menolak dan terus menyelesaikan urus niaga membeli senja sebelum mengeluarkan semua duit yang ada untuk membeli sunset yang paling indah. Selesai urusan, kami bergegas meninggalkan pasar yang kian sesak, mengambil tren kembali ke stesen sebelum diringi oleh Afi keluar dari dompetnya.

“Selepas semua ini, apa yang patut saya buat dengan sunset ini?”

“Cubalah jual di kota. Ramai marhaen memerlukannya,” ujar dia sebelum memakai topeng muka dan menghilang dalam keheningan. Atas dasar mempercayainya, saya cuba menjual sunset tersebut di tepi jalan raya dengan kain rentang tertulis ‘Sunset Para YB’ namun dari pagi beranjak petang, cuma seorang tua sahaja yang singgah hanya untuk bertanya dari mana saya mendapatkan sunset tersebut. “Aneh kau ini. Siapa mungkin mahu memiliki sunset pada saat begini? Tapi, di pasar dalam dompet yang kau ceritakan tadi, masihkah ada dijual topeng muka dan hand sanitizer?” Tanya beliau pula sambil membelek seikat sunset yang mulai mengecut.