SHAH ALAM, 23 APRIL: Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Selangor memohon sumbangan pelbagai pihak untuk membantu golongan terjejas akibat penularan Covid-19 di bawah Program Kasih Ramadhan.
Organisasi itu berkata pihaknya menyasarkan membantu 5,200 orang membabitkan 1,300 keluarga yang terdiri orang kena pengawasan (OKP), warga emas dan asnaf bagi membolehkannya menjalani ibadat puasa seperti biasa.
“Pemadam Negeri Selangor mengalu-alukan orang ramai menyalurkan sumbangan wang serendah RM50 agar OKP, warga emas dan asnaf terpilih boleh terus bersahur dan berbuka puasa demi melaksanakan rukun Islam ketiga.
“Sumbangan Kasih boleh dilakukan melalui akaun Maybank Pemadam Negeri Selangor (0121 0132 3712) dengan tanda nota Kasih Ramadhan,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Untuk keterangan lanjut boleh menghubungi 011 2722 4764 (Sarah) menerusi aplikasi WhatsApp dan di Facebook, Twitter serta Instagram Pemadam Negeri Selangor.
Penyerahan sumbangan Kasih Ramadhan itu akan disempurnakan Dato Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari selaku penaung dan pengerusi Pemadam Selangor pada satu tarikh sesuai.