SHAH ALAM, 21 APRIL: Pemain bola sepak Selangor, Sean Eugene Selvaraj mendermakan sebahagian gajinya kepada 14 keluarga yang terjejas akibat penularan Covid-19.
Pemain berusia 24 tahun itu berkata hatinya tersentuh mengenangkan nasib 14 keluarga berkenaan yang tidak lagi dapat keluar mencari rezeki seperti biasa susulan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Saya bertuah kerana terus menikmati gaji penuh walaupun liga ditangguhkan sedangkan ada orang lain yang menerima gaji harian terputus pendapatan…atas sebab itu saya menawarkan diri membantu.
“Bila saya siarkan di media sosial, ramai tampil memohon bantuan dan setakat ini ada 14 keluarga iaitu lapan di Selangor manakala selebihnya dari Johor, Perak serta Kedah,” katanya kepada Selangorkini di sini baru-baru ini.
Pemain sayap itu berkata antara penerima sumbangannya adalah ibu tunggal tujuh anak selain pasangan baharu berkahwin.
“Saya juga mahu menyampaikan mesej bahawa saya tidak melupakan penyokong di saat sukar seperti ini dan berharap mereka juga akan terus memberi sokongan apabila saya serta rakan-rakan kembali beraksi,” katanya.
Katanya, dia berterima kasih kepada pengurusan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) diterajui Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menjaga kebajikan pemain bola negeri ini.
“Mereka terus mencari jalan bagaimana untuk membayar gaji pemain pada waktu tepat walaupun hasil pengurusan mungkin terjejas disebabkan penangguhan Liga Super dan kejohanan lain,” katanya.