Categories
AGENDA NASIONAL

Perjalanan lebih 10 kilometer ketika perintah kawalan perlu alasan kukuh

KUALA LUMPUR, 3 APRIL: Orang awam yang ingin melakukan perjalanan lebih 10 kilometer (km) dari rumah masing-masing dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu mempunyai alasan kukuh untuk berbuat demikian, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata orang ramai perlu mengemukakan bukti kukuh seperti menunjukkan bil air atau elektrik sekiranya ada urusan rasmi atau keperluan penting yang perlu dilakukan.

Abdul Hamid berkata perjalanan lebih 10 km itu hanya ditujukan kepada orang awam yang mempunyai alasan kukuh hendak keluar dan mempunyai urusan yang dibenarkan seperti pergi ke bank atau kedai membeli barangan tertentu.

“Bagaimanapun, perjalanan lebih 10 km ini tidak terpakai kepada orang awam yang ingin mendapatkan rawatan di klinik mahupun hospital.

“Misalnya, jika orang awam ingin mendapatkan rawatan yang mungkin jauh dari tempat tinggalnya iaitu lebih kurang 15 km dari klinik atau hospital, ia tidak mempunyai masalah (mendapatkan rawatan) dan hanya perlu tunjuk surat atau dokumen daripada doktor yang menyatakan mereka ini memerlukan rawatan perubatan,” katanya ketika ditemui Bernama di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Abdul Hamid berkata pihaknya amat memahami situasi berkenaan dan polis dibenar menggunakan budi bicara untuk membenarkan orang ramai melakukan perjalanan lebih 10 km bagi mendapatkan rawatan perubatan jika ada keperluan.

“Insya-Allah mereka (anggota polis) akan faham situasi ini, saya telah berikan mereka kuasa seluas-luasnya untuk menggunakan budi bicara mereka berdasarkan fakta di tempat bertugas masing-masing.

“Sebagai contoh, jika terdapat orang awam membawa anak atau orang tua yang tidak sihat untuk mendapatkan rawatan tetapi tidak mempunyai kad, mereka dibenar untuk pergi ke hospital tetapi perlu menjelaskan keadaan mereka kepada anggota polis yang bertugas membuat sekatan jalan raya,” katanya.

Abdul Hamid berkata beliau sentiasa memberi peringatan kepada anggota yang bertugas di sekatan jalan raya jika terdapat kes orang ramai yang memerlukan rawatan atau kecemasan supaya tidak ditahan.

Hari ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata polis dibenar menggunakan budi bicara untuk membenarkan orang ramai yang ingin melakukan perjalanan lebih 10 km bagi mendapatkan barangan makanan mahupun perubatan sekiranya terdapat keperluan.

Ia termasuklah perjalanan merentasi negeri walaupun sebelum ini peraturan PKP fasa dua mengehadkan perjalanan haruslah tidak melebihi 10 km.

– BERNAMA