Categories
AGENDA NASIONAL

PKP: Ubah kadar kompaun RM1,000 perlu ke Parlimen

SHAH ALAM, 12 APRIL: Kerajaan mengakui kompaun RM1,000 dikenakan terhadap rakyat yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah rendah, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Bagaimanapun, Menteri Kanan (kluster keselamatan) itu berkata jumlah kompaun itu dikenakan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 (Akta 324).

“Memang ramai rakyat berpandangan kenapa kompaun lebih rendah berbanding negara lain, memang kita bincang tetapi akta dan peraturan jelas bahawa kompuan adalah RM1,000 dan jika kita ingin ubah maka perlu dibawa ke Parlimen.

“Saya percaya selepas ini kita lebih (memilih) untuk (pesalah) dihadapkan ke mahkamah, saya sebut beberapa kali kes bukan setakat ingkar PKP, tetapi berkaitan Kanun Keseksaan seperti menghalang tugas penjawat awam dan melanggar sekatan jalan raya,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri berkata sama ada penjara di seluruh negara kini berdepan isu kepadatan banduan, ia terpulang polis dan Jabatan Penjara menyelesaikannya misalnya dari segi penjarakan sosial.

“Saya nak sebut juga kalau dihadapkan ke mahkamah, itu kuasa mahkamah menentukan dari segi hukuman,” katanya.

Terdahulu, katanya, sejak 18 Mac lalu, polis menahan 1,220 individu kerana ingkar PKP yang mana 854 dikenakan kompaun RM1,000 manakala 345 lagi direman dan 21 individu dijamin polis.

“Jumlah keseluruhan kompaun dikeluarkan adalah 2,156 dan jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP dari 18 Mac sehingga semalam adalah 8,125 individu,” katanya.