SHAH ALAM, 10 APRIL: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan berakhir pada 14 April ini dilanjutkan dua minggu lagi sehingga 28 April, kata perdana menteri.
Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ia memastikan rantaian Covid-19 terputus sekali gus memulihkan keadaan negara daripada ancaman wabak tersebut.
“Pelaksanaan PKP selama sebulan membantu kawal Covid-19 ke tahap stabil. Menurut unjuran Kementerian Kesihatan Malaysia, PKP sedikit sebanyak mengurangkan kebolehjangkitan dan penularan wabak.
“Kes Covid-19 di negara ini pada kadar 7 peratus, iaitu di bawah penanda aras 10 peratus yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), manakala 1.6 peratus kadar kematian berbanding 5.8 peratus kematian di negara lain,” katanya dalam perutusan khas, hari ini.
Kerajaan melaksanakan PKP dengan fasa pertama bermula dari 18 hingga 31 Mac, diikuti dengan fasa kedua dari 1 April hingga 14 April.