SHAH ALAM, 26 APRIL: Keterbukaan pimpinan Kerajaan Selangor mendengar semua pandangan membantu usaha membendung wabak Covid-19 daripada merebak, kata Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) berkata tanpa kerjasama baik semua pihak, usaha memerangi virus itu tidak mungkin membuahkan hasil.
“Sebagai seorang pemimpin negeri, saya lihat beliau (Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari) sangat peka dalam setiap isu melibatkan Covid-19.
“Saya lihat beliau selalu segera beri maklum balas dan ambil tindakan sewajarnya dan ini memudahkan tugas kami di STFC, komunikasi dua hala itu amat penting,” kata dalam wawancara bersama SelangorKini dan Selangor Journal semalam.
Sebanyak 5,400 saringan dibuat melalui Saringan Komuniti kendalian Selcare Clinic Sdn Bhd hampir dua minggu sejak dilancarkan pada 11 April lalu.
Saringan pandu lalu di sini, Gombak dan Hulu Selangor antara 18 hingga 23 April lalu juga mendapat sambutan menggalakkan.
Setakat jam 12 tengah hari pada 24 April lalu, Selangor mencatatkan 1,387 kes terkumpul, dengan kadar infeksi 0.21, sejajar dengan purata kadar infeksi nasional pada 0.17.
Manakala, statistik pada 19 April lalu menunjukkan 71 peratus pesakit sembuh, dengan kadar mortaliti terkini pada 1.29%, sejajar dengan kadar mortaliti nasional pada 1.68%.